Kepedulian

Perasaan manusia hanya akan stabil sekiranya mempunyai asas yang jelas dan kukuh. Cinta akan kekal, rindu akan mendalam, kasih akan menebal, dan keprihatinan akan tinggi sekiranya semua perasaan ini mempunyai asas. Justeru umat islam harus kembali memikirkan dan memantapkan asas terhadap semua tindakan dan perasaan kita.Hal ini kerana tanpa asas yang kuat sesuatu perbuatan dan perasaan akan sukar bertahan lama. Sesuatu perasaan akan mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan isu yang dimainkan oleh golongan tertentu. Keadaan ini menjadikan umat islam terutamanya di Malaysia tidak objektif dalam berperasaan atau sebenarnya perasaan tersebut hanyalah emosi yang tak berpanjangan.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Piala dunia vs Palestin



Sedih dan pilu sekali apabila isu Palestin hanya meniti dibibir masyarakat dan menjadi perbualan umum mereka hanya untuk satu tempoh tertentu sahaja. Apabila ada peristiwa besar yang berlaku, seperti pembunuhan beramai-ramai oleh tentera zionis atau yang terbaru serangan terhadap sukarelawan yang menaiki kapal Mavi Marmara, barulah masyarakat bangkit untuk memperjuangkannya dan memperkatakannya.Namun apabila ada isu lain yang lebih menarik perhatian mereka , maka sekali lagi Palestin ditinggalkan dan dipinggirkan. Apakah kalau seandainya hanya seorang rakyat Palestin yang dibunuh, itu tidak penting bagi kita?. Saya kira, misi bantuan terhadap Palestin yang dihalang oleh Israel ialah satu misi yang sewajarnya membuka mata dunia, mengetuk hati-hati yang masih tertutup, dan menyedarkan mereka yang dalam lamunan untuk bangkit dan menentang kekejaman tentera zionis dengan segala kemampuan yang ada secara konsisten sehinggalah Palestin memiliki kembali tanah air mereka dan umat islam. Namun jangkaan saya agak meleset apabila melihat keadaan di Malaysia sekarang atau mungkin dunia keseluruhannya. Kita kalah dengan bola. Kita lebih asyik melihat pemain-pemain bola berkejar ke sana sini dan berjuang untuk merebut sebiji bola dan berusaha bersungguh-sungguh menjaringkannya daripada membaca dan menghayati perjuangan rakyat Palestin untuk mempertahankan Negara umat islam Palestin dan menjaga kesucian masjid kita Al-Aqsa. Kita lebih banyak berbicara tentang kehebatan-kehebatan pasukan dan pemain kegemaran masing-masing berbanding kehebatan HAMAS dan rakyat Palestin yang tak pernah gentar berhadapan dengan peluru dan serangan demi serangan.

Oleh yang demikian, Palestin juga menjadi isu yang ada musimnya seperti piala dunia.Mujurlah terdapat beberapa NGO islam yang sentiasa berusaha menyedarkan masyarakat tentang Palestin. Salah satu NGO yang memainkan peranan penting untuk memberikan kesedaran terhadap isu Palestin bahkan menghulurkan bantuan kepada mereka ialah Aman Palestin. Justeru, kita harus memberikan sokongan dengan menganjurkan dan menghidupkan program-program yang dianjurkan mereka. Mudah-mudahan kita dapat mengeluarkan masyarakat daripada semangat berteraskan isu kepada masyarakat yang bersemangat hakiki.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Asas kita ialah iman

Fenomena yang berlaku diatas menggambarkan perasaan kita terhadap Palestin dan rakyatnya hanyalah lahir daripada naluri kemanusiaan semata-mata tanpa disokong oleh asas yang lebih kukuh iaitu IMAN. Dalam agama islam asas kepada persaudaraan ialah ikatan akidah. Justeru, siapapun dan dimanapun umat islam berada mereka ialah saudara-saudara kita yang mempunyai hak ke atas kita. Menjadi salah satu kewajipan kita untuk sentiasa peduli terhadap hal ehwal umat islam terutamanya mereka yang berada di Palestin. Perasaan peduli ini harus dibina dengan benar diatas asas iman . Kepedulian ialah bukti kepada kesatuan dan kasih sayang. Kita harus ihtimam dengan semua perkara yang berlaku terhadap umat islam kerana Rasulullah SAW bersabda,

Dari Hudzaifah bin Yaman r.a, Rasulullah SAW bersabda ”Siapa yang tidak ihtimam (peduli) terhadap urusan umat Islam, maka bukan golongan mereka.” (HR At-Tabrani). (Hadits ini banyak diriwayatkan oleh ahli hadits dengan lafadz dan sanad yang berbeda. Dan dari semua sanad yang berbeda, para ulama hadits mempermasalahkan keshahihannya. Tetapi para ulama sepakat bahwa secara lafadz dan makna hadits ini adalah benar dan tidak bertentangan dengan nilai Islam yang universal. Secara makna hadits ini sesuai dengan nilai-nilai Islam yang terkait dengan ukhuwah Islamiyah, baik yang disebutkan dalam Al-Qur’an maupun hadits. Allah swt. berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” (Al-Hujuraat: 10))

Oleh kerana asas dalam persaudaraan muslim ialah iman, maka tahap kepedulian kita terhadap umat islam boleh menjadi satu kayu ukur terhadap kekuatan iman. Rasulullah saw. Bersabda, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga mencintai untuk saudaranya sebagaimana mencintai untuk dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim). Justeru,kelemahan umat hari islam hari ini ialah kelemahan iman. Kelemahan imanlah yang membuat umat islam berpecah dan tidak saling tolong menolong. Kelemahan iman juga menjadikan sebahagian daripada kita tidak benar-benar menghayati isu palestin dan menjadikannya isu yang bermusim seperti piala dunia. Tidak salah untuk seseorang mengikuti perkembangan piala dunia atau menyaksikan perlawanannya sekalipun, tetapi kekuatan iman harus memanggil jiwanya pulang setelah menonton piala dunia untuk menadah tangan mendoakan saudara-saudara semuslim di Palestin. Kekuatan iman juga harus membangkitkan kesedaran dalam hatinya untuk bercakap tentang palestin ditengah-tengah manusia yang mabuk dengan piala dunia. Kekuatan iman inilah yang membenihkan rasa cinta yang sentiasa subur terhadap bumi Palestin dan Al-Aqsa. Justeru, ayuhlah kita kembali menilai iman kita, mambajanya dan memastikan ianya tumbuh mekar dalam jiwa kita seiring dengan cinta dan kepedulian kita terhadap Palestin.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Murobbi, oh murobbi...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tarbiah hanyalah untuk orang yang sedar. Orang yang sedar untuk berubah, orang yang sedar untuk membangunkan diri, dan orang yang sedar untuk berjuang. Kita harus sedar dan peka dengan persekitaran kita dan begitu juga harus sedar dengan peranan setiap individu yang terlibat dalam proses ini. Tarbiah tak mungkin akan berkesan dan berfungsi kepada orang yang masih dalam lamunan dan angan-angan kosong. Yang datang ke liqa’-liqa’ atau daurah-daurah dengan penuh semangat dan rutin tetapi tak pasti apa yang mereka perolehi. Justeru, kita harus menjalani tarbiah dalam keadaan yang sangat sedar. Agar kita tidak diperbodohkan.

Diperbodohkan murobbi

Maaf perkataan ini mungkin kasar tetapi saya sedang serius melihat gejala ini. Apa tugas murobbi? Datang ke halaqah dan memberikan pengisian?memberikan arahan? Atau memarahi kesalahan mutarobbi?. Wah....kalau ini tugas murobbi saya kira senang. Justeru untuk melahirkan murobbi yang seperti ini, yang kaku, yang lesu dan yang jauh dari ruh tarbiah kita tak perlu masa yang lama, bahkan tak perlu pun usaha yang memenatkan dan melelahkan. Semua murobbi harus sedar yang kita mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar dan berat daripada itu. Tugas murobbi ialah mendidik dan membimbing perubahan. Bukan tugas murobbi memprogramkan kehidupan mutarobbinya sehingga mereka menjadi terlalu robotik. Justeru murobbi harus lebih halus dalam meperhatikan masalah ini. Setelah kita memberikan pengisian didalam halaqah, kita harus memastikan kefahaman berkaitan bahan itu sampai dan dipraktikan. Murobbi bertanggungjawab dalam memimpin pembangunan akal, fizikal dan ruh mutarobbi agar kehidupan mereka seimbang dan menatijahkan individu yang mapan untuk mengharungi realiti kehidupan. Mendukung idealisme perubahan ialah sesuatu yang baik tetapi menjadi terlalu idealistik dalam membuat perubahan sesuatu yang membahayakan. Harus diingat bahawa dalam proses tarbiah, yang menjadi objeknya ialah manusia yang lengkap dengan ruh , akal, hati dan perasaan bukan seperti membuat kek yang objeknya hanyalah bahan-bahan yang tidak bernyawa,yang tak pernah peduli acuannya,hiasannya,uliannya, bahkan tak pernah peduli kalau hangus pun. Oleh itu,murobbi harus berinteraksi dengan semua kompenen yang wujud dalam diri manusia. Kelesuan dalam tarbiah bermula dengan kelesuan seorang murobbi yang menyuruh mutarobbinya berqiamullail tapi dia sendiri mamai ketika bertahajjud, yang menasihati mutarobbinya mebaca al-quran tetapi dia sendiri tidak tartil bahkan jauh daripada al-quran, dan yang menyeru mutarobbinya untuk berjuang tetapi dia sendiri masih fikir-fikir kalau diminta berinfaq. Kegagalan dalam tarbiah akan bermula daripada kegagalan seorang murobbi menjadi murobbi dan memainkan peranan dan fungsinya dengan baik dan benar. Saya ingin bertanya, apakah penting lagi untuk meneruskan pengisian dalam halaqah kalau semua mutarobbinya mengantuk bahkan ada yang tertidur?. Janganlah jadi murobbi yang syok sendiri. Sedarlah kembali tentang matlamat pengisian dan pastikan kita menggunakan wasilah dan uslub yang terbaik untuk mencapai matalamat tersebut. Justeru janganlah memperbodohkan lagi mutarobbi kita dengan kehebatan kita dalam berkata-kata tetapi lemah dalam berbuat, hebat dalam menasihati tetapi lemah dalam tarbiah dzatiah dan hebat dalam memberikan pendapat tetapi lemah dalam melaksanakan keputusan. Hargailah dan binalah mutarobbi kita kerana mereka adalah amanah dan anugerah.

Murobbi tidak kebal

Murobbi bukanlah manusia yang ma’sum dan bukan juga seseorang yang telah memiliki karamah walaupun mungkin ada. Tetapi secara umumnya murobbi ialah manusia biasa yang menjadi murobbi kerana pengalaman yang lebih dan matang. Justeru dalam hal ini murobbi tidak kebal daripada dan apabila melakukan kesalahan. Kesalahan yang dilakukan murobbi harus dinilai dan dicegah dengan baik. Justeru dosa maksiat seseorang takkan berkurang hanya kerana dia seorang murobbi. Oleh yang demikian mutarobbi harus sedar pula hak dan tanggungjawab. Mereka mempunyai hak yang perlu dituntut kalau tidak ditunaikan oleh murobbi. Kalau merasa tiada perkembangan dalam diri, merasa lesu dalam berhalaqah dan tidak memahami pengisian murobbi maka lontarkan dan berbincanglah dengan baik bersama murobbi agar keadaan ini dapat diatasi kerana itu adalah hak seorang mutarobbi. Janaganlah menggunakan istilah taat dan tsiqah kalau tak memahaminya. Taat bukan bererti bodoh untuk mengiakan perkara yang salah daripada seseorang hanya kerana dia seorang murobbi atau mas’ul dan tsiqah bukan bererti memaksa diri menghilangkan kekeliruan yang berlaku dek kerana melihat murobbi melakukan kesalahan yang jelas. Kita perlu taat kepada murobbi dan mas’ul tetapi ketaatan yang mutlak tetap terhadap Allah dan rasul. Ketsiqahan kita pula tidak seharusnya menghalang kita daripada menegur dan memberikan nasihat kepada murobbi. Orang yang mengelak diri daripada menegur kesalahan murobbi ialah orang yang tidak tsiqah dengan keikhlasan murobbi tersebut menerima nasihat dan kebaikkan. Nasihat yang kita berikan kepada murobbi seharusnya langsung tidak menjatuhkan kedudukan dia dalam hati kita bahkan nasihat itu kita harus berikan dengan penuh ikhlas, cinta dan yakin. Mutarobbi janganlah menjadi manusia-manusia pengecut seperti tikus yang hanya bercakap di balik tabir dan yang hanya berani muncul dalam kegelapan atau mempunyai jiwa seorang hamba yang hanya menuruti kemahuan dan perintah tuannya dan tidak pernah mempunyai ruang menuntut haknya kerana kita hamba hanya kepada ALLAH. Ayuh kita menjadi mutarobbi yang baik agar murobbi kita menjadi yang terbaik.

SIMBIOSIS

Kembara

Sememangnya telah begitu lama jari jemari ini tidak menulis. Natijahnya , tiadalah sebarang artikel baru yang diltakkan dalam blog ini untuk renungan diri sendiri dan sesiapa yang menjengahnya. Apatah lagi saya tidaklah begitu pandai menulis kerana seringkali kaku dalam berbicara dan kelu dalam berkata-kata. Ada sebahagian sahabat yang langsung bertanya tentang keadaan ini. Tiada jawapan yang dapat saya berikan melainkan senyuman dan terus diam kerana suatu hari nanti saya akan menjawab semua persoalan itu dan pastinya jawapan itu ada disini. Ya, pada artikel ini.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Alhamdulillah bulan ramadhan yang lepas telah menyaksikan hati ini sangat bergembira meraikannya bahkan ramadhan yang lepas telah menjadikan saya amat rindu padanya dan amat menantikannya pada tahun ini. Bulan yang telah menjadikan saya siap berhadapan dengan satu perjalanan yang bakal memberikan kesan bermakna dalam hidup saya. Kedatangan syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan debaran. Hati ini seakan-akan tahu bahawa ada perkara dan keputusan besar yang perlu dilakukan dan dihadapi. Ya, nyatanya keadaan tersebut memang benar-benar berlaku, keaadaan yang wujud kerana kekesalan,kekecewaan, dan kebuntuan yang teramat. Keadaan yang tidak lagi membenarkan saya melangkah dan meneruskan perjuangan kerana yang berbicara hanyalah bibir tapi tidak lagi hati dan yang bergerak hanyalah tubuh tapi tidak lagi jiwa. Keadaan yang tidak lagi mengizinkan saya berdiam , lalu saya kongsikan dengan teman-teman terdekat yang sentiasa bersama-sama dalam kebaikkan sama ada susah dan senang. Sesuatu yang menakjubkan apabila saya tidak sendirian dalam hal ini, sebuah jelmaan dan natijah ukhuwah yang amat indah. Saya menjadi semakin yakin untuk melakukan keputusan besar dalam hidup. Ya, teman-teman yang lain juga yakin dengan keputusan yang bakal dibuat. Sebuah keyakinan yang tercipta dari hati yang tunduk kepada Allah, yang bersih daripada sifat hasad dan dengki dan daripada perkongsian rasa yang sudah sekian lama terpendam dan terperangkap dalam ruang yang sempit dan kini menuntut hak yang sewajarnya. Maka setelah persiapan dibuat maka kami tekad melangkah bersama-sama menghadapi segala kemungkinan. Kami menjadi berani dan yakin kerana kafilah kecil kami telah bertekad bahawa kembara ini hanyalah sementara dan akan merintis penggabungan dengan kafilah yang lebih besar dan mempunyai bekalan-bekalan yang insyaallah mencukupi dan yang paling penting bekalannya benar untuk kembara yang seterusnya hinggalah sampai ke destinasi.

Perjalanan diteruskan walaupun hati masih berat namun kejelasan matlamat menjadikan kami tetap kuat melangkah dengan terus menerus berdoa dan beribadah kepada Allah agar Allah memberikan kami pertunjuk dan tidak tersesat dalam kembara dan pencarian kafilah tersebut. Hari-hari yang berlalu menyaksikan semakin ramai yang terbuka hati menyertai kafilah kecil ini. Semua yang telah bersama-sama kafilah kecil ini telah berjanji dan memberikan kesetiaan untuk bersama-sama bergabung dengan kafilah besar yang lengkap dengan ciri-ciri yang diinginkan. Indahnya kesatuan amat terasa apabila setiap individu dalam kafilah kecil ini saling kuat menguatkan dan sabar menyabarkan.

Alhamdulillah akhirnya kafilah kecil kami telah berjumpa dengan kafilah yang kami yakini. Walaupun di pertengahan kembara kami tealah mengenali pelbagai kafilah tetapi akhirnya kami semua, ya semua dan setiap individu dalam kafilah kecil ini telah sepakat dan menyatakan bahawa kafilah besar inilah yang akan kami pilih untuk bergabung. Wah, sekali lagi saya merasa taajub dengan keadaan ini. Mungkin perlu saya ulang supaya yang membacanya juga kagum bahawa setiap orang daripada kami menyatakan keinginan yang sama untuk bergabung dengan kafilah yang sama. Pada awalnya kami juga hairan dan terus membuka ruang untuk berbincang dan berhujah, namun tiada sesiapapun yang menggunakan ruang ini.

Seterusnya perbincangan terus dilakukan di antara wakil kafilah kecil kami dengan pemimpin-pemimpin kafilah besar tersebut. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Sehinggalah…..

Sehinggalah ada pengkhianatan. Pengkhianatan yang lahir dari sifat dan kejahilan terhadap etika. Beberapa orang daripada kafilah kami telah keluar dengan alasan yang pelbagai dan dengan persoalan yang telah dijawab. Pelik, sangat pelik kerana bukankah kami telah memberikan ruang yang disia-siakan (rujuk perenggan atas) tetapi semua diam dan akhirnya mereka hanyalah berbicara dalam kkhemah-khemah kecil yang didiami hanya untuk sementara. Mereka lupa dengan janji dan lupa dengan misi kafilah ini. Saya bahkan yang lain juga tidak kisah kalau seandainya dari awal mereka inigin melangkah sendirian tanpa bergabung dengan kafilah kami. Tapi kenapa harus bergabung, berjanji, bahkan menyokong keputusan yang dibuat hanya untuk akhirnya mengkhianati. Kami goyang?. Sama sekali tidak, kerana keputusan yang dibuat telah disyurokan bersama-sama. Adakah keputusan selain keputusan syuro?. Jawapan kami TIDAK. Apapun kami tetap mendoakan agar kami dan mereka sentiasa dalam keredhaan Allah,sentiasa berkasih sayang dan menjaga hak sesama muslim kerana yang paling mulia disisi Allah ialah sesipa yang paling bertakwa. Kami telah memilih kafilah yang ingin bergabung sebagai salah satu langkah menjadi hamba yang paling bertakwa.

Alhamdulillah , kini semuanya telah selesai dan kami sedang bersiap-siap untuk meneruskan kembara hidup yang semakin jauh dengan bekalan yang insyaallah mencukupi untuk sampai ke destinasi. Mudah-mudahan sepanjang perjalanan ini kami mampu mengutip bekal-bekal berharga untuk hari kemudian dan bekal yang paling utama pastinya taqwa.

Apa kaitan semua kejadian ini dengan saya yang tidak menulis? Banyak kaitannya. Bayangkan bertapa perasaan dan emosi saya ketika berhadapan dengan semua perkara diatas. Segalanya bercampur baur. Marah, geram, kecewa, suka, dan duka. Justeru saya tidak ingin menulis dengan semua perasaan itu melainkan perasaan tenang dan aman agar hati saya tulus dan ikhlas menulis kerana Allah tidak untuk membalas kenyataan, tidak juga untuk menjatuhkan. Seterusnya dalam keadaan diatas saya sangat sibuk menguruskan dan memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan pencarian kami menemui sesuatu yang diinginkan walaupun hakikatnya allah jualah yang menetapkan segalanya. Kesibukan yang telah menyebabkan saya terpaksa melupakan seketika atau dalam tempoh yang panjang cita-cita saya . Pengorbanan kecil yang memerlukan jiwa yang besar. Saya tidak menyesal dan sangat bahagia sekarang, begitulah indahnya takdir walaupun kadang-kadang impian itu masih melintasi fikiran. Rasa saya pasti banyak persoalan yang timbul setidak-tidaknya berkaitan siapa “kafilah kecil” dan siapa “kafilah besar” setelah membaca artikel ini. Ya, saya akan memberitahunya tapi yang pasti bukan sekarang.

Insyaallah saya akan kembali menulis sebagai peringatan untuk diri sendiri dan yang lain. Justeru saya mohon maaf atas segala kesalahan dan kekhilafan. Mohon doa dari semua agar kami tsabat dalam kembara yang panjang ini bersama kafilah yang baru……………..

Followers

Muslimkaffah © 2008 Template by Dicas Blogger Supplied by Best Blogger Templates

TOPO