Tazkiyah



Sepanjang kehidupan manusia, ketaatan sering kali harus bertempur dengan dua musuh utama iaitu syaitan dan hawa nafsu. Manusia yang berjaya ialah yang mampu menghadapi dan mengendalikan kedua-duanya dengan keimanan dan ketakwaan. Namun, hakikat kehidupan manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan. Justeru proses tazkiyah haruslah sentiasa dijalankan agar hati yang Allah anugerahkan tidak buta dan mati. Kematian hati akan menyebabkan manusia tidak mempunyai kuasa dan kemampuan mengendalikan dirinya sendiri dan hidup manusia akan berterusan dalam kemaksiatan dan kegelapan.

Syaitan akan sentiasa menggunakan setiap kesempatan yang diperolehi untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Sumpah dan dendam syaitan tak pernah terpadam sehinggalah hari akhirat. Manusia yang lalai akan sentiasa dibuai dan disesatkan oleh syaitan. Kesedaran terhadap adanya musuh yang nyata ini seharusnya membuahkan kesedaran terhadap perlunya benteng keimanan dikukuhkan. Salah satu kekuatan manusia ialah hati yang bersih, yang disinari cahaya dan yang sentiasa hidup. Hati ini hanyalah bias diperolehi dengan proses tazkiyah yang berkesan dan berterusan.

Berikut ialah langkah-langkah membersihkan hati menurut pandangan imam Al-Ghazali.

1) Musyaratah (meletakkan syarat)

Terlebih dahulu manusia seharusnya syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam kehidupan. Hal ini kerana syarat yang telah wujud akan memerlukan tindakan lanjutan iaitu pemantauan (muroqabah), dan perlu diaudit (muhasabah). Sekiranya tidak dipenuhi maka hukuman (mu’aqabah) dan celaan (mu’atabah) perlu diberikan. Demikianlah pentingnya meletakkan syarat dalam kehidupan. Seawal pagi lagi, kita seharusnya meletakkan pelbagai sasaran yang ingin dicapai sepanjang hari tersebut. Sasaran ibadah, akademik, kerjaya, dan hubungan intrapersonal dan interpersonal. Sasaran ini harus jelas agar kita tidak memandang remeh dan sambil lewa.

2) Muroqobah

Maknanya ialah pengawasan. Muroqobah ialah sebahagian daripada makna ihsan. Bahagian yang lain daripada ihsan ialah musyahadah. Seseorang hamba harus menyedari bahawa Allah sentiasa mengawasi dirinya. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

dan diletakkanlah Kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka Kami, kitab Apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak Menganiaya seorang juapun". (Al-Kahfi: 49)

pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh; dan Allah memperingatkan kamu terhadap siksa-Nya. dan Allah sangat Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.” (Ali Imran: 30)

Jelas sekali digambarkan dalam ayat diatas bahawa setiap perbuatan manusia akan diperhatikan, dicatatkan bahkan akan dihisab didepan Allah ‘azza wajalla. Apakah kita masih mampu menmberikan ruang dalam kehidupan kita untuk bermaksiat kepada Allah?.

Seorang hamba tidak terlepas dari 3 keadaan: dalam ketaatan, atau dalam kemaksiatan, atau dalam hal mubah. Muraqabahnya dalam ketaatan ialah dengan ikhlas, menyempurnakan, menjaga adab dan melindunginya daripada segala kecatatan. Jika dalam kemaksiatan maka muraqabahnya ialah dengan taubat,melepaskan, malu dan sibuk dengan tafakkur. Jika dalam hal mubah, maka muraqabahnya dengan menjaga adab dan kemudian menyaksikan pemberi nikmat di dalam kenikmatan yang didapati dan mensyukurinya.

Justeru, hendaklah kita sentiasa memperhatikan syarat-syarat yang telah kita tetapkan dan sejauh mana kita berkomitmen untuk melaksanakannya.

3) Muhasabah

Telah berkata Umar Al-khattab ra. “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab dan timbanglah dia sebelum kamu ditimbang”. Oleh yang demikian setelah kita memperuntukkan waktu untuk membuat perancangan di waktu pagi kemudian mengawasi setiap perlaksnaan, maka kita juga perlu untuk memperuntukkan waktu di petang hari untuk kembali menghisab setiap perbuatan yang telah dilakukan samada berupa ketaatan ataupun kemaksiatan.

Seperti dalam perniagaan, proses muhasabah boleh dianologikan sebagai proses audit. Modal kita ialah kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah, kemudian kita berusaha menjalani kehidupan sebaik yang mungkin. Maka kita perlu menghitung nilai keuntungan yang diperolehi ataupun kerugian yang ditanggung. Keuntungan dan kerugian ini diketahui melalui proses audit. Maka keuntungan daripada modal kehidupan ialah amal oleh yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan kerugian akan ditanggung akibat daripada perbuatan maksiat yang dilakukan.

Jika kehidupan ini dilalui dengan benar maka sesorang itu akan beroleh ketenangan, jika telah berlalu kewajipan tanpa sempat dilaksanakan maka hendaklah diqadha, jika kewajipan dijalankan dengan kurang sempurna maka disusuli dengan amalan sunat, jika banyak maksiat dilakukan maka disusuli dengan taubat dan amalan kebajikan. Keadaan ini ialah natijah daripada proses muhasabah.

4) Mu’aqabah

Telah dimaklumi bahawa manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan. Kesalahan-kesalahan ini diketahui dengan jalan muhasabah. Muhasabah melahirkan rasa insaf dan menyesal manakala mu’aqabah meneguhkan kedua-duanya. Para sahabat juga sering mengiqab diri apabila melakukan kesalahan dan kekhilafan. Abu Talhah telah menginfakkan seluruh kebunnya kerana hatinya tidak khusyuk apabila melihat burung yang melintas dalam kebunnya. Begitu juga Umar ra yang saban malam memukul kakinya dengan cemeti seraya berkata; Apa yang telah kau lakukan pada hari ini? Demikian juga beliau yang telah menginfakkan tanahnya membebaskan dua orang hamba kerana terlewat solat maghrib. Justeru hendaklah kita mengiqab diri kita sesuai dengan kemampuan diri dan bertentangan dengan keinginan nafsu syahwat agar diri kita lebih ingat dan ampuh dalam menghadapi kehidupan.

5) Mujahadah

Mujahadah boleh dicapai melalui dua jalan iaitu membaca khabar dan kelebihan mereka yang bermujahadah dan seterusnya ialah bersahabat atau berdampingan dengan orang yang bermujahadah. Telah berkata seseorang “ apabila aku merasa lesu dalam beribadah, aku akan melihat keadaan Muhammad bin Wasi’ dan mujahadahnya lalu aku melakukan hal itu selama seminggu”. Mujahadah sangat diperlukan untuk melaksanakan segala perancangan dan menjalankan iqab yang telah diberikan. Kisah-kisah para sahabat yang telah disebut pada bahagian mu’aqobah ialah gambaran mujahadah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan keimanan kepada Allah. Allah Swt juga akan membuka ruang yang luas kepada golongan yang bermujahadah untuk mendekatiNya.

dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut:69)

6) Mu’atabah

Sememangnya nafsu syahwat manusia sangat suka dipuji dan dipuja. Apabila dipuji manusia akan tenggelam dalam alam khayalan yang sia-sia. Seorang yang alim akan menjadi lalai dengan pujian demikian juga abid dan para pendakwah. Oleh yang demikian, diri kita harus dicela untuk kembali berpijak di bumi yang nyata dan kembali menyedari hakikat ‘ubudiyyah kepada Allah. Celaan ini bukanlah dilakukan dihadapan manusia sehingga menjatuhkan maruah dan mehilangkan tsiqah. Terdapat golongan yang kononnya mencela diri dihadapan manusia tetap hakikatnya bermaksud untuk dikatakan zuhud dan tawadduk yang akhirnya membuahkan riya’. Sebaliknya celaan ini harus dilakukan dihadapan Allah dalam setiap doa dan munajat kita kepadaNya. Mengadulah dan bongkarlah segala kelemahan diri dihadapan Allah dengan penuh khusyuk dan tawadduk kerana dia lebih mengetahui segala kekurangan, kelemahan, dan maksiat yang kita lakukan. Celaan ini wajar dilakukan agar kita menyedari betapa kerdilnya kita dihadapan Allah yang maha agung dan maha sempurna.

Ayuhlah kita kembali menyucikan hati yang penuh dengan kekotaran dan daki kemaksiatan. Kegelapan hati inilah yang menghalang dahi kita sujud mnyembah kepadaNya, yang menghalang mata darpada mengalirkan air keinsafan, dan yang menghalang minda berfikir atas kebesaran tuhan. Jadilah hamba yang bersyukur atas segala kurnia yang tidak terhingga dengan banyak berzikir, beribadah, dan bertaubat kepadaNya. Siapalah diri kita berbanding zatNya, dan apalah yang ada pada dunia jika dibandingkan dengan syurgaNya. Ayuh merangkaklah, berjalanlah dan berlarilah menuju keampunan dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. (wallahu’alam)

“dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,” (Ali Imran :133)



Followers

Muslimkaffah © 2008 Template by Dicas Blogger Supplied by Best Blogger Templates

TOPO