MA’IYATULLAH(bahagian 1)

“Dia lah Yang telah menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia mengetahui apa Yang masuk ke bumi serta apa Yang keluar daripadanya; dan apa Yang diturunkan dari langit serta apa Yang naik padanya. dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.” (57:4)
Kebersamaan Allah (ma’iyatullah) ialah natijah daripada makrifatullah. Sesiapa yang telah mengenali Allah pasti mengetahui, meyakini dan mersai kebersamaan Allah.Namun,hakikat yang sebenarnya ialah Allah bersama-sama dengan setiap makhluknya. Tidak ada satu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Sang Pencipta. Allah mengengetahui setiap apa yang dilakukan samada seseorang itu beriman atau kufur. Namun interaksi golongan yang beriman dan yang kufur terhadap kebersamaan Allah pastilah berbeza.
Orang yang beriman yakin benar terhadap kebersamaan allah dengan mereka. Allah mengetahui setiap apa yang dibisikkan oleh hati mereka dan segala keinginan mereka. Allah Telah berfirman dalam Al-Quran:
“ dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,” (50:16)
“ Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)” (89:14)
Justeru, orang beriman apabila menyedari bahawa Allah sentiasa bersama-sama mereka haruslah merasai adanya muraqabatullah (pengawasan Allah). Mereka harus menyedari bahawa allah akan menanyakan setiap sesuatu yang mereka kerjakan samada perbuatan tersebut baik atau buruk, amal soleh atau perkara mungkar. Alah tidak akan membiarkan satu pun perkara baik dan buruk biarpun sebesar zarrah melainkan kita akan mendapat balasan daripada hal tersebut.
“ maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (99:7-8)
Orang beriman merupakan golongan yang sangat berhati-hati dalam perbuatan, percakapan , dan niat didalam hati kerana mereka yakin semua itu akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah azza wajall.
“dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.”
Perhatikan perkataan imam Al-ghazali berkaitan muraqabah:
“Seorang hamba tidak terlepas dari 3 keadaan: dalam ketaatan, atau dalam kemaksiatan, atau dalam hal mubah. Muraqabahnya dalam ketaatan ialah dengan ikhlas,menyempurnakan, menjaga adab dan melindunginya daripada segala kecatatan.Jika dalam kemaksiatan maka muraqabahnya ialah dengan taubat,melepaskan, malu dan sibuk dengan tafakkur. Jika dalam hal mubah, maka muraqabahnya dengan menjaga adab dan kemudian menyaksikan pemberi nikmat di dalam kenikmatan yang didapati dan mensyukurinya.
Dalam semua keadaan, seorang hamba tidak terlepas daripada ujian yang harus dihadapinya dengan kesabaran, dan nikmat yang harus disyukurinya. Semua ini ialah muraqabah. Bahkan dalam semua keadaan, seorang hamba tidak terlepas daripada fardhu Allah kepadanya yang harus dilaksanakan, atau larangan yang harus dihindarinya, atau anjuran yang dianjurkan kepadanya agar ia bersegera mendapat keampunan Allah dan berpacu dengan hamba-hamba Allah, atau hal yang mubah yang memberikan kemaslahatan jasad dan hatinya disamping menjadi dukungan terhadap ketaatannya. Masing-masing daripada hal-hal tersebut memiliki batasan-batasan yang sentiasa harus dijaga dengan muraqabah.”
Hal ini jelas menunjukkan bahawa muraqabah berperanan dalam mendorong individu muslim untuk terus beramal dengan ikhlas dan menghalang mereka daripada melakukan perbuatan-perbuatan mungkar.
Orang beriman juga amat merasai ihsanullah(kebaikkan allah) terhadap mereka. Mereka menyedari bahawa setiap rezeki yang mereka peroleh dan setiap kejayaan dan kebahagiaan yang mereka kecapi merupakan kurniaan Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Mereka menjadi peribadi yang sentiasa bersyukur atas segala kurnia Allah dan menjadi peribadi yang sabar atas segala ujian kerana mereka yakin allah sentiasa bersama-sama mereka. Mereka tidak pernah putus asa dalam kehidupan mereka kerana pengharapan mereka yang tinggi dan mutlak terhadap Allah. Mereka ialah golongan yang merdeka terhadap makhluk dan hamba yang sebenar-benarnya terhadap Alah.Mereka melihat alam dengan mata hati yang dalam untuk merasai betapa Allah telah menjadikan alam ini sebagai kemudahan kepada mereka.
“tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang Yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.” (31:20)
Kesedaran terhadap adanya murgoqabah dan ihsanullah menjadikan mereka hamba yang benar-benar taat. Muroqabah mewujudkan rasa takut dan berhati-hati dan ihsanullah menjadikan mereka terhutang budi terhadap Allah. Kedua-dua perasaan ini akhirnya membawa mereka menghadap tuhan dan beribadah dalam kecintaan dan ketundukkan yang kemuncak terhadap Allah, dan inilah makna ibadah yang sebenar-benarnya seperti yang diterangkan oleh Dr Yusof Al-qardawi dalam bukunya Kitab Attauhid. Seterusnya mereka memaknai iman dengan makna yang sejelas-jelasnya. Iaitu membenarkan dengan hati, mengucap dengan lisan, dan melakukan dengan anggota tubuh. Tidak ada iman sebelum adanya ketaatan. Seseorang itu haruslah terlebih dahulu berusaha untuk mentaati segala suruhan dan larangan Allah sebelum memetik buah keimanan. Ketaatan perlulah dilaksnakan dalam setiap keadaan samada rela dan terpaksa, malas atau rajin, dan kuat mahupun lemah. Orang beriman akan terus menerus menjadikan hidup mereka untuk Allah dengan beramal tanpa jemu dan kaku.

Andai mereka tahu akibatnya….


Suatu hari seorang kawan telah bertandang ke rumah saya dan dia telah tertekan satu suis yang akhirnya menyebabakan kami semua terpaksa berpanas dan bergelap sepanjang malam. Rasa ingin tahunya terhadap suis tersebut telah menyebabkan kesusahan kepada dirinya dan juga orang lain. Seandainya dia tahu akibat perbuatannya, mungkin dia tidak akan melakukannya. Suatu hari yang lain seorang saudara saya telah merasa amat menyesal kerana disaman oleh polis akibat melanggar peraturan lampu isyarat. Dia tidak menyedari ada polis dibelakang yang sedang membuat rondaan. Seandai dia tahu kewujudan polis tersebut , mungkin dia akan berhenti dan menunggu sehingga lampu kembali hijau.

Hakikatnya apabila manusia mengetahui akibat terhadap setiap perbuatan yang akan dilakukan, pasti kita akan menjadi manusia yang sangat berhati-hati. Seandainya kita begitu prihatin terhadap akibat yang bakal kita hadapi di dunia, bagaimana pula akibat yang bakal kita hadapi di akhirat?. Sedangkan balasan di akhirat itu pasti. Mereka yang berat timbangan amalnya akan mendapat syurga yang indah dan mereka yang berat timbangan dosanya akan dicampakkan ke dalam neraka yang azabnya terlalu pedih dan memeritkan, kesakitan yang akan berpanjangan dan seksaan yang tiada kesudahan, kepanasan yang membakar dan hidangan yang menjijikkan.

Balasan di akhirat bukanlah sesuatu yang diimaginasikan dan bukan juga sekadar angan-angan kosong. Ia merupakan sesuatu yang pasti! Melihat keadaan umat sekarang hati ini sayu dan penuh kegentaran. Apakah mereka tidak pernah membaca kalam-kalam tuhan yang maha pemurah dan sabda-sabda Rasul Al-mustofa yang penuh keprihatinan terhadap umatnya di akhir zaman. Pada masa ini wanita-wanita tidak segan silu lagi membiarkan perhiasan tubuh mereka dipamerkan tanpa ada seutas pun benang-benang malu. Keindahan mereka yang begitu diperlihara oleh islam dengan begitu eksklusif menjadi barang dagangan di pinggir-pinggir jalan. Lelaki zaman ini pula, begitu gah meratahi daging-daging yang busuk (zina) walau terhidang daging yang segar dan indah. Mereka semakin keliru dalam berpakaian dan berhias sehinnga emas dan sutera menjadi perhiasan di badan-badan mereka. Menjijikkan apabila kehausan umat ini hanya bisa hilang dengan arak, dan masalah mereka hanya akan selesai dengan berhibur. Sebahagian yang lain menjadi laknat apabila berusaha memenuhi naluri yang dikatkan terperangkap dalam jasad yang berbeza.Lelaki berusaha menjadi wanita dan demikian sebaliknya. Anak-anak kecil yang tak berdosa dibunuh tanpa ada rasa kemanusiaan. Aduh, apakah umat ini akan berterusan seperti ini? Pasti tidak seandainya mereka tahu akibatnya.

Ayuh,sedarlah saudara-saudaraku umat akhir zaman, Allah yang maha pengasih telah menerangkan segala-galanya kepada kita agar kita tahu akibat setiap perbuatan kita. Rasul Al-Amin telah menggambarkan kedahsyatan neraka dan seksaan yang dihadapi penghuni-penghuninya. Demikain juga Allah dan kekasihnya telah menerangkan tentang keindahan dan kedamaian syurga sebagai balasan untuk yang beramal dengan amal yang soleh. Ayuh kita segera bertaubat atas segala dosa yang telah kita lakukan kerana hanya yang demikian dapat menghapuskan kemurkaan Allah terhadap kita. Bersegeralah sebelum pintu yang seluas-luasnya dibuka untuk yang ingin kembali ditutup. Kepada saudaraku yang telah menempuh jalan rabbani, memiliki hati nurani yang jernih, dan telah mengetahui akibat setiap perbuatan kita didunia, selamatkanlah umat ini dengan jalan yang ditempuh rasul dan mereka yang telah dikurniakan nikmat dengan menjalankan Al-amru bil ma’ruf wa An-nahyu ‘anil munkar. Semoga kita semua berbahagia dan beroleh nikmat yang tak terhingga serta kekal di dalam syurga kerana itulah sebaik-baik tempat kembali.

Followers

Muslimkaffah © 2008 Template by Dicas Blogger Supplied by Best Blogger Templates

TOPO